BAGAN DATUK – Senarai calon-calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi semua kerusi Parlimen dan DUN adalah muktamad dan tiada penukaran akan dilakukan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun wujud beberapa individu dan kumpulan yang masih melobi serta mendesak pertukaran dilakukan ia tidak akan mengubah keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

“Melalui perbincangan saya bersama Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) memang ada desakan namun sebagaimana saya nyatakan nama-nama calon telah dimuktamadkan 100 peratus dan watikah juga telah diserahkan kepada bakal-bakal calon.

“Ini adalah satu hakikat politik bukan hanya dikalangan calon-calon kepimpinan BN menghadapai masalah pemilihan calon ini, kita memilih (calon) yang terbaik daripada yang baik-baik” katanya pada sidang media selepas melakukan program ziarah di beberapa buah rumah di sini pada Jumaat.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, justeru kesemua calon yang telah dipilih bersama jentera masing-masing perlu mengadakan usaha serius mendekati ahli-ahli yang kecewa tidak terpilih.

“Kita bukan hanya mahu mereka bekerja keras memenangkan kerusi yang mereka wakili tapi waktu sama kita perlu ketahui ramai lagi yang mengharapkan untuk dapat tempat dan ramai penyokong-penyokong yang mengharapkan calon-calon mereka dipilih.

“Usaha-usaha untuk mendekati mereka yang tidak dicalonkan itu perlu dilakukan. Jangan ada perasaan untuk merendahkan apatah lagi melakukan sesuatu yang negatif terhadap mereka yang tidak berjaya atau perkhidmatan mereka tidak disambung sebagai ahli Parlimen dan ADUN,” ujar beliau.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk turut memberi peringatan bahawa sekiranya tedapat mana-mana ahli BN yang bertanding sebagai calon bebas pada PRU-14 nanti keahlian mereka akan terbatal secara automatik.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan bekas Pembantu Khas kepada salah seorang Setiausaha Politiknya, Muslimin Yahaya yang menyertai parti PKR untuk bertanding di kerusi Sungai Besar adalah tindakan bersifat peribadi.

“Saya telah nasihatkan beliau harus bersabar, dia berhajat bertanding di Sungai Besar tapi dia ambil keputusan sertai PKR.

“Pendirian beliau ini adalah pendirian individu jadi saya harap ia tidak dikaitkan dengan setiausaha politik saya. Saya harap beliau bayar harga sepatutnya bila beliau melakukan tindakan sedemikian,” jelasnya.

Katanya, beliau menyerahkan kebijaksanaan kepada pemimpin BN Sungai Besar untuk menangani masalah terbabit.

 BERITA BERKENAANMarkiman Nafi Keluar Parti,Sertai PPBM