TELUK INTAN: Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong mahu semua pihak menjaga tertib sepanjang tempoh berkempen dengan tidak melanggari mana-mana undang untuk kepentingan politik sendiri.

Menurutnya selesainya proses penamaan calon merupakan penanda bermulanya waktu calon-calon turut padang berkempen memenangi hati pengundi.

Justeru, katanya, tidak wajar bagi calon menggunakan kesempatan berkempen ini dengan memanipulasi fakta tidak benar sebaliknya hendaklah memastikan melaksanakan kempen secara berhemah.

Menurut penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan itu peringatan itu seharusnya didokong bukan sahaja calon di Teluk Intan malah kawasanl di seluruh negara.

“Semua berhak bertanding, kita cuba yang sebaiknya tetapi seperti yang saya tekankan, jika kita fight (berkempen), kita fight secara gentleman (tertib). Ianya harus dilakukan berasaskan apa yang kita boleh buat untuk Teluk intan, dan juga untuk negara. Itulah yang paling penting,.

“Sebab, dalam satu dan dua minggu lepas banyak berita palsu disebarkan, bagi saya semua ini tidak sihat . Justeru, saya harap amalan berkempen secara tertib ini dijalankan bukan sahaja di Teluk Intan, tetapi seluruh negara,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan.

Siew Keong menang kerusi tersebut pada satu pilihan raya kecil 2014 dengan majoriti sebanyak 2,013 undi selepas mengalahkan bekas Setiausaha Politik veteran DAP, Lim Kit Siang iaitu Dyana Sofea.

Beliau juga sekali lagi meminta kerjasama semua pihak agar mengutamakan kebajikan perayaan Chitra Pournami yang bakal dihadiir oleh lebih daripada 40,000 warga Teluk Intan pada malam Sabtu.

Katanya,festival itu merupakan budaya yang telah berterusan selama lebih 30 tahun justeru memanipulasikan perayaan tersebut bagi tujuan menimbulkan kemarahan orang ramai untuk berkempen di musim pilihan raya ini adalah tidak rasional sama sekali.

“Kita tak mahu ada ketegangan, kita pun macam satu keluarga di Teluk Intan, kita berkempen secara demokrasi,”katanya lagi.

Siew Keong berkata beliau juga akan melancarkan Manifesto Khas Teluk Intan dalam masa terdekat.