IPOH – Isu lompat kawasan setiap kali berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) bukan lagi isu baru terutamanya kepada parti pembangkang.

Di negeri Perak, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang sebelum ini merupakan penyandang kerusi Parlimen Taiping dan ADUN Kepayang juga dikatakan telah ‘melompat’ ke Teluk Intan untuk mencuba nasib merampas semula kerusi yang menjadi milik Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong hasil kemenangan pada PRK ke13, manakala penyandang Parlimen Ipoh Timur, Su Keong Siong akan bertanding di Parlimen Kampar.

Melaui sebuah portal online, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail menyeru rakyat agar menolak ahli politik yang suka melompat kawasan setiap kali berlaku PRU.

Menurut beliau ahli politik yang bersikap begitu tidak ikhlas bertanding kerana tidak memberi khidmat kepada rakyat sebaliknya mempergunakan rakyat untuk mendapat imbuhan hasil daripada jawatannya sebagai ahli parlimen atau ADUN.

“Perbuatan suka melompat dari satu kawasan ke satu kawasan ini merupakan amalan permainan politik pembangkang apabila mereka merasakan kawasan yang dimenanginya pada PRU yang lalu bukan lagi tempat yang selamat untuk mereka bertanding pada PRU kali ini,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Suara Perak cuba mendapatkan pendapat para pengundi di Parlimen Ipoh Timur serta maklumbalas dari calon-calon Pakatan Harapan yang bertanding di ke semua kerusi tersebut.

Tidak pernah turun padang

Seorang penduduk di Kampung Sri Kinta, Tebing Tinggi, Mohd Zahari Mat Isa, mendakwa beliau tidak pernah nampak calon gabungan pembangkang yang bertanding atas tiket PKR Wong Kah Woh turun padang.

“Calon DAP yang muda ini bukan pemimpin kerana mereka dari dulu sampai sekarang tak pernah turun padang pun, cuma, bila lima tahun sekali baru dia turun.

“Thomas Su (penyandang Parlimen Ipoh Timur) juga bukan seorang pemimpin, kalau dia betul seorang pemimpin, dia akan tunggu di sini, berkhidmat di sini. Ini tidak, bila lima tahun dia tukar, bukannya seorang pemimpin yang boleh kita sokong,” ulas beliau mengenai Ahli Parlimen PKR tersebut yang telah dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Kampar untuk PRU-14 ini.

Noor Asmah Hamid dari kampung itu juga menyokong kenyataan tersebut.

“Pada pandangan saya, kalau dah betul dia betul-betul bantu rakyat, kenapa dia nak bertukar? Kalau dulunya dia di sini, kalau dia dah bertugas di sini, apa yang dia bantu kita?

“Memang tak ada. Kami pun tak pernah jumpa dia dan kenapa dia nak bertukar-tukar, itu yang masalah,” kata beliau.

Namun, peniaga di pasar Pasir Pinji, Ho Mee Keen berkata beliau berpuas hati dengan khidmat yang diberkan oleh calon DUN N27 Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How di DUN itu.

“Howard betul-betul jaga orang dan benar-benar kerja untuk rakyat.

“Beliau selalu turun padang dan melawat kami di sini serta mudah dihubungi. jika ada masalah dan kami minta apa-apa, beliau akan datang, siasat, buat laporan dan mengarahkan agar permintaan kami dipenuhi,” ujar beliau yang menjual pakaian.

Tidak buat kerja?

Menjawab kepada dakwaan-dakwaan tersebut, calon Parlimen P64 Ipoh Timur, Wong Kah Woh berkata dakwaan yang mengatakan wakil rakyat berpindah Parlimen atau DUN kerana tidak memberi khidmat yang diinginkan oleh rakyat adalah dakwaan pihak-pihak yang mempunyai prejudis kepada Pakatan Harapan.

“Dakwaan yang diutarakan itu adalah tidak benar kerana daripada respon, dan balasan daripada pengundi-pengundi yang kita sudah jumpa sepanjang masa berkempen ini kami percaya bahawa majoriti pengundi-pengundi bersama-sama dengan kami iaitu Pakatan Harapan.

“Berkenaan dengan persoalan kenapa kali ini saya berpindah dari DUN Canning ke Parlimen Ipoh Timur, ini merupakan keputusan pimpinan pucuk parti DAP.

“Adalah senang untuk melontarkan satu dakwaan tetapi bukan senang untuk mereka mempertahankan dakwaan tersebut,” kata beliau ketika ditemui, di Ipoh.

Beliau juga menafikan lompat kawasan kerana sebelum ini beliau merupakan ADUN Canning yang berada di dalam Parlimen Ipoh Timur.

“Sememangnya bagi kes saya memang tidak wujud satu pemindahan dari satu kerusi ke satu kerusi yang lain kerana sebelum ini saya adalah ADUN kawasan Canning dan sekiranya saya menang, saya Ahli Parlimen kawasan Ipoh Timur dan Canning merupakan salah satu DUN di bawah Ipoh Timur,” beliau menjawab dengan tegas.

Menurut beliau, dakwaan beliau bertanding untuk kerusi parlimen kerana tidak membuat kerja adalah tidak benar.

“Itu memang tidak berasas langsung kerana bagi saya sendiri, sejak saya dipilih sebagai ADUN Canning, saya telah menubuhkan pusat khidmat saya di Kampung Simee dan setiap minggu pun pasukan perkhidmatan kami akan pergi ke tempat-tempat orang ramai seperti di pasar, di kedai-kedai kopi dan sebagainya.

“Saya percaya bahawa sekiranya mana-mana rakan-rakan reporter menemubual pengundi Ipoh Timur atau Canning, pergi ke market, pasar, mereka yang berada di market, pasar ataupun mereka beri satu jawapan yang lebih baik berkenaan dengan prestasi kita dalam masa 10 tahun yang lepas,” tambah beliau.

Pilihan kerajaan antaran Pakatan dan BN

Wong berkata untuk DUN Tebing Tinggi, beliau percaya bahawa pengundi-pengundi di sini boleh nampak bahawa pada hari ini pilihan parti yang boleh menang dan membentuk kerajaan ialah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi, parti-parti yang lain termasuk PAS, dengan rasa hormat saya percaya bahawa peranan PAS bukan sahaja di Tebing Tinggi tapi juga di kawasan-kawasan yang lain calon dia bertanding hanya sekadar untuk memecahbelahkan undi pembangkang sahaja,” ulas beliau.

Beliau berkata, adalah jelas sejak satu setengah tahun yang lepas, hala tuju PAS adalah lebih memihak kepada BN.

“Saya menyeru kepada pengundi-pengundi di kawasan yang melibatkan tiga atau empat penjuru tumpukan ke semua sokongan kepada calon Pakatan kerana Pakatan mempunyai satu halatuju, visi dan misi yang jelas iaitu untuk menggantikan BN dalam pilihan raya ini,” ujar beliau dengan penuh yakin.

Sementara itu, Howard pula berkata Pakatan merupakan pesaing politik yang gentleman di DUN Pasir Pinji dan secara am di Parlimen Ipoh Timur.

“Amat penting untuk pihak kami Pakatan menegaskan pesaing politik yang gentleman, tetapi yang kami hadapi di semua peringkat operational mahupun di peringkat politik kami perlu dan dipaksa melawan dengan taktik-taktik kotor ambil contoh dari segi banner, bunting dan bahan-bahan kempen, kami nampak dengan begitu zalimnya kontraktor mereka sampai guna bunting mereka untuk menutup bunting kami.

“Ini bukan gentleman dan tidak pernah pihak kami buat kerja macam itu tetapi kami juga ad acara untuk menyelesaikan masalah,” tambah beliau.

Mengulas mengenai isu pemindahan kawasan, beliau juga bersetuju bahawa isu itu tidak berasas.

“Biarlah rakyat yang kata (lompat kawasan), biarlah rakyat yang menyuarakan itu melalui pengundian,” katanya.

Pada PRU-13, Thomas Su dari DAP telah memenangi Parlimen Ipoh Timur dengan 46,086 undi manakala calon BN yang diwakili oleh Kathleen Wong Mei Yin memperolehi 15,086 undi.

BERITA BERKENAAN‘Kami Mahukan Ah Nan’ – Wakil Penduduk Bercham