KUALA LUMPUR: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr S Streram memfailkan saman pemula terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menuntut ganti rugi RM7.6 juta atas dakwaan berlaku salah laku ketika proses penamaan calon dan menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dr Streram sebagai plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Haniff Khatri di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman itu, Dr Streram yang juga seorang pakar bius menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agos Suyub dan SPR sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan penyata tuntutan, pada 24 April lalu, plaintif mendakwa diberikan watikah oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding dalam PRU-14 sebagai calon DUN N27 Rantau.

Pada 25 April lalu, plaintif mengambil borang pencalonan dan membayar deposit pencalonan RM5,000 dan deposit bahan kempen RM3,000 kepada pejabat SPR di Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau mendakwa tidak diberitahu oleh defendan kedua bahawa tag nama atau pas masuk untuk calon dan wakil plaintif diperlukan untuk masuk ke dalam dewan pencalonan pada 28 April lalu.

Plaintif mendakwa pada jam 4.30 petang, 27 April lalu, seorang rakan ada memaklumkan berhubung pengambilan tag atau pas masuk untuk calon dari Pejabat Daerah Rembau, Negeri Sembilan.

Dr Streram mendakwa ada pergi ke pejabat daerah untuk mengambil tag nama atau pas masuk itu pada jam 6.45 petang tetapi ia sudah ditutup.

Bagaimanapun, beliau mendakwa ada seorang pegawai wanita di situ memaklumkan bahawa ia boleh diambil pada awal pagi sebelum penyerahan borang pencalonan di pusat penamaan calon pada 28 April lalu.

Pada keesokan harinya, pada jam 8 pagi, plaintif mendakwa beliau hadir ke pusat penamaan calon bersama pencadang dan penyokongnya di Dewan Seri Rembau untuk mengambil tag atau pas masuk itu, bagaimanapun dihalang untuk berbuat demikian.

Plaintif mendakwa ada meminta pegawai polis untuk memanggil pegawai SPR bagaimanapun tiada yang keluar berjumpa mereka.

Pada jam 9 pagi iaitu selepas pusat penamaan calon dibuka, plaintif tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan itu untuk menyerahkan borang pencalonan bersama dengan pencadang dan penyokongnya sehingga selesai proses.

Plaintif mendapat tahu bahawa calon Barisan Nasional DUN Rantau sudah menang tanpa bertanding.

Dr Streram mendakwa tidak ada keperluan undang-undang yang menyatakan tag nama dan pas masuk diperlukan oleh calon untuk layak menjadi calon pilihan raya.

Beliau mendakwa kehilangan hak untuk bertanding sebagai calon walaupun layak dan sah serta kerugian semua sumbangan serta perbelanjaan bagi penyediaan PRU-14.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am sebanyak RM5 juta, ganti rugi teladan RM2.6 juta, serta faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 28 April lalu, Dr Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan di Dewan Seri Rembau kerana tidak memiliki pas calon yang diperakukan SPR, sekali gus menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding di kerusi itu – berita harian

BERITA BERKENAANSiew Keong Buat Laporan Polis Terhadap Kor Ming