IPOH – Seorang usahawan mendakwa ditipu calon parlimen Jasin dari AMANAH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan melibatkan wang berjumlah RM90,000 pada Jun 2017.

Azrul Suhadi Ahmad Moktar mendakwa, Khairuddin yang merupakan sahabatnya itu telah meminjam wang tersebut pada tahun lalu dengan alasan untuk membayar denda berjumlah RM250,000 atas kesalahan menghina mahkamah.

“Saya dimkalumkan beliau jika bayaran tidak dibuat kepada mahkamah beliau terpaksa masuk ke penjara selepas hari raya.

“Atas dasar persahabatan dan hubungan yang akrab, saya telah berusaha untuk mendapatkan wang berjumlah RM90,000 dengan berkongsi duit bersama Datuk Hamidah Osman (Bekas Naib Presiden PPBM) dan telah menyerahkan wang itu kepadanya,” kata beliau pada satu sidang media khas di sini.

Namun dakwa beliau, selepas itu, Khairuddin telah memberikan empat cek dibawah beberapa nama syarikat yang mana tidak boleh ditunaikan oleh pihak bank atas alasan cek tendang serta akaun bermasalah.

“Saya telah menyemak latar belakang syarikat-syarikat yang ceknya digunakan oleh beliau untuk membayar hutangnya, saya dapati salah satu daripadanya merupakan antara 30 syarikat yang diburu oleh pihak polis atas kesalahan menipu pelabur dan orang ramai,” ujarnya.

Tambah Azrul Suhaidi, selepas berkali-kali meminta Khairuddin menyelesaikan pinjaman yang dibuat itu, beliau berasa amat terkejut apabila mendapat tahu Khairuddin telah dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ini bermaksud beliau mempunyai duit, namun setiap kali saya minta (wang pinjaman), dia akan memberi macam-macam alasan. Terbaru dia cakap akan bayar selepas PRU-14.

“Sebagai seorang sahabat saya amat kecewa dengan perbuatan beliau terhadap saya dan juga Hamidah yang ikhlas membantu tetapi akhirnya diperdaya.

“Soal meninjam itu perkara biasa tetapi bila beliau memberi cek-cek yang bermasalah ia telah menyebabkan saya merasa Khairuddin dengan sengaja memperdaya saya,” ujarnya.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Azrul Suhaidi berkenaan isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh sebentar tadi.

BERITA BERKENAAN : PEMBANGKANG SEBAR RISALAH FITNAH