MANJUNG – Perubahan sehingga 50 peratus dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 adalah bukti transformasi terbaik parti dalam perkhidmatan kepada rakyat.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menjelaskan, pemilihan muka baru itu juga dibuat berdasarkan musyawarah dan pemilihan teliti oleh pucuk pimpinan.

“Ia berdasarkan pemilihan yang teliti termasuk penilaian terhadap calon ataupun yang telah jadi calon, atau yang akan jadi calon.

“Kita merasakan bahawa dengan perubahan 50 peratus ini akan membawa BN dengan penuh keyakinan pada PRU ini dan khidmat lebih baik,”ujar Dr. Zambry.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyerahan Strata Title di Taman Bukit Permata, di sini pada Rabu.

Dalam majlis itu, Dr. Zambry menyempurnakan penyerahan Strata Title kepada enam pemaju dan tujuh badan pengurusan bersama melibatkan 1171 unit rumah di daerah Manjung.

Sementara itu, beliau yang merupakan calon BN Parlimen Lumut dan Penyandang DUN Pangkor menzahirkan penghargaan kepada muka lama yang memberi ruang kepada calon yang bertanding.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mantan-mantan wakil rakyat yang secara sukarela menyatakan tidak mahu bertanding.

“Ada juga (muka lama) yang menerima keputusan parti dengan hati terbuka untuk memberi laluan kepada orang muda khususnya kepada generasi muda seperti pemuda, puteri dan lain-lain,”ujarnya.