IPOH – Biarpun terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keadaan penuh kesulitan kerana mengalami cacar air, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, di sini, Mohd Aiman Khairil Anuar tetap yakin bakal memperoleh keputusan cemerlang.

Malah Mohd Aiman, 17, berkata, keadaannya itu telah memberikan hikmah kepada dirinya apabila diletakkan di dalam sebuah bilik darjah khas untuk menduduki peperiksaan bagi mengelak menjangkiti pelajar lain.

“Disebabkan saya kena cacar air ini, saya perlu dikuarantinkan dalam bilik khas kerana bimbang menjangkiti pelajar lain pula nanti.

“Tapi bagus juga, walaupun terasing saya rasa lebih selesa dan tidak berasa gugup,” katanya ketika ditemui sebelum menduduki ujian berkenaan, di sini pada Selasa.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr Abdul Aziz Bari telah melakukan lawatan kepada calon-calon SPM sekolah itu sebelum mereka menduduki ujian.

Beliau berkata, seramai 36,072 calon di seluruh negeri ini bakal menduduki peperiksaan SPM melibatkan 33,916 calon sekolah dan 2,156 calon persendirian.

Sebanyak 325 pusat peperiksaan di negeri ini telah dibuka iaitu 291 di sekolah manakala 34 lagi membabitkan pusat persendirian.