KOTA BHARU: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran Masjid Nilam Puri, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam tadi, Mohamad Nazif Mohd Nazri maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata ketika kejadian mangsa baru selesai makan di sebuah kedai dan melintas jalan.

Katanya, akibat jarak terlalu dekat, Toyota Wish dipandu seorang wanita berusia 37 tahun gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota tercampak di bahu jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – berita harian