Lima calon peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang, Taiping terpaksa dibawa menaiki lori Bomba ke pusat pemeriksaan setelah rumah mereka dinaiki air awal pagi tadi.

Kesemua calon itu yang akan menduduki kertas peperiksaan Prinsip Akaun pagi ini terkandas setelah kawasan perumahan Taman Kuala Sepetang ‎ dinaiki air setinggi paras betis pada jam 6.30 pagi.

Ketua operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Pegawai Bomba Kanan II, Mustapa Kamal Ismail, berkata ‎paras air sungai telah mula naik sehingga melepasi tebatan yang dibina penduduk sejak awal pagi.

“Kita hanya membantu memindahkan pelajar ini ke sekolah mereka bagi menjalani peperiksaan SPM dan setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan dari kawasan berkenaan,” katanya.

Jumlah mangsa banjir di negeri ini setakat jam 8 pagi tadi mula berkurangan kepada 33 orang daripada 11 keluarga berbanding 101 orang daripada 52 keluarga pada petang Selasa.

Jurucakap Sekretartiat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, ketika ini hanya satu pusat pemindahan masih beroperasi di Dewan Orang Ramai Simpang Halt, Kuala Sepetang manakala Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang Jaya telah ditutup semalam.

 

 

“Pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Simpang Halt yang dibuka sejak Isnin lalu kini menempatkan 11 keluarga terdiri daripada 10 lelaki dewasa, 10 perempuan dewasa, 7 kanak-kanak lelaki dan 7 kanak-kanak perempuan,” katanya.

Walaubagaimanapun Pencawang Elektrik di Taman Kuala Sepetang terpaksa ditutup kerana dinaiki air hampir 0.7 meter pagi tadi.

“Air ketika ini sedang pasang dan pencawang elektrik terpaksa ditutup. Penutupan ini melibatkan bekalan eletrik kepada kira-kira 200 pengguna terganggu,” ujarnya.