IPOH – Senarai calon Barisan Nasional (BN) Perak menampilkan calon termudanya dari MCA, Yuen Chan Ho, 30, bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN), Tronoh dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Chan Ho yang merupakan Ketua Pemuda MCA cawangan Menglembu bakal berentap dengan Paul Yong mewakili Pakatan Harapan di kerusi berkenaan pada pilihan raya nanti.

Menurut Ahli Majlis Daerah Batu Gajah itu, walaupun usiannya masih muda namun beliau yakin mampu merampas semula kerusi berkenaan yang kini disandang oleh wakil rakyat DAP itu selama dua penggal.

“Usia bukan halangan untuk saya sebab sudah empat tahun menjadi ahli majlis, ramai penduduk saya kenal dan saya telah banyak membantu menyelesaikan masalah di kawasan berkenaan.

“Saya yakin pengundi akan kembali memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya ini kerana selama dua penggal pembangkang jadi wakil, mereka langsung tidak membawa sebarang kemajuan kepada Parlimen Batu Gajah atau DUN Tronoh,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya yakin melalui tinjauan yang dilakukan oleh jentera BN di kawasan, pengundi kaum Cina akan kembali menyokong MCA pada PRU-14.

Selain Chan Ho, kerusi DUN Pokok Assam juga bakal ditandingi oleh seorang lagi calon muda berusia 30 tahun daripada MCA, Lee Li Kuan.

Pada PRU-14 nanti, daripada 83 calon yang bakal bertanding di 24 Parlimen dan 59 Dun, 30.5 peratus daripadanya adalah calon muda untuk kerusi DUN manakala 29 peratus untuk kerusi parlimen.

BERITA BERKENAAN11 Lelaki Etnik Uighur Gang Dihadapkan Ke Mahkamah Tiada Documen Perjalanan Sah