IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mengambil ketetapan bahawa mana-mana calon parti yang pernah bertanding dua kali dan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak lagi diberi peluang bertanding pada PRU akan datang.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ketetapan itu meliputi semua calon, sama ada untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Menurut beliau, ketetapan ini diambil untuk memberikan ruang dan laluan kepada calon-calon yang berpotensi besar yang dipilih oleh parti.

“Yang saya maksudkan, bukan hanya UMNO tetapi dalam konteks BN, tetapi ada juga calon yang pernah bertanding dulu tetapi dia tidak menang, ada yang berhasrat hendak bertanding.

“Saya nasihatkan, oleh kerana mereka sudah tidak menang dan hendak mencalonkan diri umpamanya, kalau sudah dua kali bertanding pun kalah, jadi tidak payahlah hendak dicalonkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Dr Zambry yang juga Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak menjelaskan, antara ciri penting yang sedia dipertimbangkan oleh parti ialah populariti seseorang calon.

“Sekiranya kita mendapati seseorang calon itu masih dikehendaki oleh rakyat di kawasannya, kita akan membuat penilaian yang sewajarnya terhadap calon berkenaan,” ujarnya.

Namun begitu, kata beliau, parti hanya boleh mencadangkan sahaja mana-mana calon yang berpotensi tetapi keputusan di peringkat akhirnya akan ditentukan oleh presiden parti yang juga Pengerusi BN.

“Pengerusi BN ada caranya dan beliau mempunyai informasi berkaitan setiap calon yang hendak dikemukakan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, BN Perak telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU14 pada bila-bila masa.