KUALA KANGSAR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menempelak tindakan pembangkang yang cuba memainkan isu calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Yazid tidak turun berkempen.

Katanya, isu yang sedang berlegar di laman sosial itu merupakan isu kosong yang sengaja dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Situasi calon tidak boleh berkempen pernah berlaku pada tahun 2008 ketika Pilihan Raya Umum ke-12 yang melibatkan calon DAP yang memenangi kerusi DUN Kota Alam Shah.

“Yang bertanding ialah M. Manoharan yang ketika itu berada di dalam tahanan di bawah ISA. Bukan sahaja dia tidak keluar berkempem malah pada ketika itu berada di dalam tahan ISA,” katanya dalam program Pemuda Prihatin Kuala Kangsar di KampungTalang Dusun di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan isu yang sedang berlegar di lama sosial facebook yang mempertikaikan Mastura kerana tidak akan turun berkempen kerana tempoh edahnya belum tamat.

Tambah Khairy, pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria juga diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan terhadap pemilihan calon kali ini.

“Mufti menjelaskan, hukum edah sememangnya betul, bagaimanapun ia sama sekali tidak menghalang buat calon kita untuk bertanding dalam PRK Kuala Kangsar,” katanya lanjut.