GOPENG – Kemenangan Datuk Heng Seai Kie di Parlimen Gopeng pada 9 Mei ini akan membantu usaha menambah suara wanita di peringkat Parlimen, kata Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil

Beliau berkata, peletakan Ketua Wanita MCA itu sebagai calon bukan sekadar memenuhi kuota kerusi atau melepas batuk di tangga, sebaliknya atas pengalaman luas dimiliki dan kemampuan memberikan khidmat kepada rakyat.

“Semua pun tahu bagaimana besarnya suara wanita kerana itu kemenangan calon kita ini amat mustahak, kita serius untuk beri khidmat dan menjadi satu daripada penyumbang pembangunan negara.

“Apatah lagi di Parlimen Gopeng ini, sudah beberapa penggal dipegang pembangkang, tidak banyak perubahan berlaku, jadi rugilah jika pengundi tak beri sokongan kepada calon wanita kita,” katanya ketika menyertai walkabout calon BN Parlimen Gopeng di Taman Ipoh Jaya, semalam.

Selain Seai Kie, pada PRU14 ini, BN turut mempertaruhkan seorang lagi calon wanita bagi kerusi dewan negeri kawasan itu iaitu Liew Li Lin di Dun Simpang Pulai.

Shahrizat berkata, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan kempen semua calon wanita BN yang bertanding pada PRU14 ini.

Katanya, setiap daripada mereka mempamer gerak kerja bersungguh untuk membantu kemenangan besar BN baik di peringkat parlimen mahupun dewan negeri.

“Saya juga tidak menerima sebarang laporan negatif sama ada berbentuk provokasi daripada calon lawan mahupun pengundi, semuanya berjalan dengan baik dan kita hanya menunggu hari mengundi nanti,” katanya – sinar

BERITA BERKENAAN130 ahli DAP Triang Keluar Parti