Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PARIT BUNTAR: Lapan tahun, bukanlah tempoh yang singkat bagi 57 penduduk di daerah ini yang menantikan bayaran ganti rugi daripada syarikat pemaju MMC Gamuda.

Malah, kebanyakan penghuni dari tiga taman perumahan sekitar daerah Kerian itu merupakan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan terjejas akibat daripada pembinaan Landasan Keretapi Berkembar Elektrik (Ipoh-Padang Besar)yang dilaksanakan pada tahun 2009.

Hasil campur tangan kerajaan negeri ketika program permukiman Menteri Besar pada Mei tahun lalu, perjuangan mereka menuntut pampasan ex-gratia berakhir dengan kegembiraan apabila mereka menerima sejumlah RM262,000 pada Sabtu.

Megat Abu Bakar Megat Abdul Latif, 63, dari Taman Setia Jaya berasa lega akhirnya suara hati mereka menanti tanpa sebarang kata putus didengari oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Masalah itu ditambah dengan keputusan tegas pihak pemaju yang enggan menyelesaikan tuntutan ex-gratia sejumlah 57 pemilik rumah yang bersetuju, sebaliknya mendesak Majlis Daerah Kerian (MDK) selaku orang tengah untuk mendapatkan persetujuan semua 63 pemilik rumah.

“Kesan daripada empat pemilik rumah tidak bersetuju, perkara itu terus tergantung sehinggalah kami berjaya mendapatkan campur tangan MB Perak tahun lalu,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan ex-gratia projek landasan berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar yang disempurnakan Dr Zambry di Dewan Sri Kerian, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Abu Bakar Md Ali, dan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Megat Abu Bakar berkata, majoriti pemilik rumah terlibat sudah mencapai berusia lebih 60 tahun dan amat memerlukan ex-gratia untuk menampung kos membaiki rumah masing-masing.

“Apapun, saya bersyukur kerana penantian selama hampir lapan tahun untuk mendapatkan ganti rugi RM5,500 telah diterima dalam bulan Ramadan ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jaapar Embi, 72, dari Taman Setia Jaya berkata, dia terpaksa menanggung kerosakan pada bahagian dinding dan bumbung rumah sejak perlaksanaan projek pemaju dijalankan bermula April 2009.

“Mujurlah masalah ini berjaya diselesaikan dan saya akan gunakan wang RM5,500 untuk membaikpulih rumah saya yang rosak akibat projek berkenaan,” ujarnya.