KUALA LUMPUR: Ikon kulinari Chef Wan menegur anak muda yang berminat dalam dunia masakan agar menimba ilmu atau mencari lebih banyak pengalaman sebelum menggelarkan diri chef selebriti.

Chef Wan berkata, tiada tiket mudah bagi mana-mana individu yang mampu menunjukkan skil menyediakan hidangan dalam program televisyen (TV) atau pertandingan, mendapat gelaran seumpama itu.

“Berada pada tahap ini (chef selebriti) memerlukan lebih daripada kebolehan memasak atau pandai bercakap. Sebaliknya, kita memerlukan latihan profesional dan pengalaman luas.

“Tetapi di Malaysia pelik sedikit… Ini kerana setakat boleh masak atau bersembang dengan kamera, terus dipanggil chef selebriti.

“Sebab itu kita nampak di TV, individu yang dipanggil chef selebriti terus masukkan ikan dalam kuali ketika minyak belum panas. Malah, ada sebilangan daripada mereka cara pegang pisau pun salah,” katanya kepada BH Online.

Chef Wan berkata, layanan terhadap golongan muda yang digelar chef selebriti sangat ketara hingga orang luar sedar dan mempertikaikannya.

“Perkara begini orang luar nampak dan maklumkan kepada kita. Bersepah sekarang chef selebriti. Tetapi kalau silap beri gelaran kepada individu tidak sepatutnya, lama-kelamaan hilang mutu chef di Malaysia,” katanya.

Chef Wan yang sering diundang berkongsi pengalaman di luar negara memberitahu, luahan itu dibuat kerana enggan tahap profesionalisme chef selebriti tercalar gara-gara wujudnya kumpulan ‘chef segera’.

“Saya tak rasa cemburu pun. Sekadar meluahkan pandangan daripada apa yang saya nampak dan maklum balas teman seperjuangan lain.

“Nasihat saya, gali dulu pengalaman, belajar dan pertingkatkan latihan di dapur. Saya dan Martin Yan diundang berkongsi pengetahuan di sana-sini bersandarkan pengalaman bertahun-tahun.

“Mungkin individu terbabit blogger makanan dan pengacara yang bagus tetapi tidak bermakna dia boleh jadi chef selebriti segera,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Chef Wan atau nama sebenarnya, Datuk Redzuawan Ismail berganding dengan rakan baiknya, Chef Martin dalam program realiti TV masakan ala MasterChef, Raja Sawit yang akan disiarkan TV3, mulai 8 Jun depan.

Program yang menemui penonton setiap Sabtu jam 6 petang, menyaksikan Chef Wan dan Chef Martin menjadi juri, tenaga pengajar dan hos.

Chef Martin sebelum ini pernah menjadi juri program Iron Chef dan Hell’s Kitchen – Berita harian