IPOH – Seorang bakal pengantin mencari abang kandungnya yang hilang sejak lima tahun lalu bagi mewalikan pernikahannya dijadualkan selepas Aidilfitri ini.

Amalina Abdul Karim, 33, berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya, Ridzuan, 42, pada 2014 lalu di tempat kerja di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sejak itu mereka terputus hubungan dan abangnya yang berkahwin dengan wanita warga Thailand dikenali Mimie tidak pernah lagi pulang ke kampung mereka di Selabak, Teluk Intan.

“Februari lalu saya ada ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur, tetapi mereka maklumkan abang sudah lama berhenti kerja, nombor telefonnya juga sudah tidak aktif,” katanya.

Dia berkata, tarikh pernikahannya bersama pasangan sepatutnya bulan lepas, tetapi terpaksa ditunda kerana pencarian abangnya menemui jalan buntu.

“Ayah sudah lama meninggal dunia, datuk juga sudah tiada, saya berharap sangat abang boleh tampil menjadi wali pernikahan saya,” katanya.

Mereka yang mengenali abangnya boleh menghubungi Amalina di talian 011-37086492 atau kakaknya, Saida 017-2714981 – sinar harian