LENGGONG: Kejadian banjir berulang di sekitar Parlimen Gerik dan Lenggong perlu ditangani secara bersepadu oleh semua agensi dan jabatan kerajaan untuk memastikan penyelesaian secara menyeluruh.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut menggesa agar pelan menyeluruh untuk mengendalikan masalah banjir dapat dirangka dengan mengambil kira semua aspek yang berkaitan.
Tegasnya,  adalah tidak wajar untuk mana-mana agensi atau jabatan cuba untuk mengalihkan tanggungjawab dan menuding jari, sebaliknya bekerjasama secara holistik dalam isu banjir.
“Saya tidak mahu dengar ada alasan ini tugas agensi tertentu dan sebagainya di negeri Perak, kita mempunyai pendekatan secara duduk bersama dan menilai serta melihat bagaimana kita saling membantu.
“Contohnya, ada kawasan (terlibat banjir) jalan-jalan kampung yang melibatkan Pembangunan Luar Bandar (PLB), juga akan kita masukkan sekali, maknanya penyelesaiakn yang akan kita kemukakan ini melibatkan semua,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di beberapa kawasan banjir di sekitar Kampung Sumpitan di sini pada petang Isnin.
Tambahnya, pendekatan adhoc bagi menangani kejadian banjir yang berulang buat beberapa tahun di kawasan Hulu Perak kini dilihat sebagai tidak relevan memandangkan faktor banjir yang sudah berubah.
Dr Zambry berkata, sebelum ini pihak terlibat mempunyai keupayaan untuk meramal taburan hujan dan kitaran bulan monsun namun ianya dilihat semakin tidak tepat kebelakangan ini.
Kata Dr Zambry, kejadian hujan lebat di awal November kini telah mula berlarutan dan ianya berlaku di sekitar Hulu Perak yang merupakan punca air kepada negeri ini.
IMG-20171107-WA0006
“Wakil-wakil rakyat di Parlimen Lenggong, Gerik, Kota Tampan kesemuanya sepakat untuk memohon kepada kerajaan persekutuan agar memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penyelesaian secara total di kedua-dua kawasan.
“Semua pihak akan terlibat, baik JPS, JKR, PLB, pihak berkuasa tempatan, Kerajaan negeri akan duduk bersama kerana kalau kita tak buat dari sekarang maka pelbagai masalah akan timbul kelak,” ujarnya lagi.
Dr Zambry berkata, beliau menyedari perbincangan dan perlaksanaan pelan tersebut akan mengambil tempoh masa namun ianya akan berpandukan daripada perbincangan semua pihak berwajib.