Jempol: Polis meminta saksi kejadian gerai menjual bunga api terbakar di hadapan sebuah bank di bandar Bahau pada malam 1 Syawal lalu tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya turut meminta orang ramai yang cedera pada kejadian jam 9.45 malam itu tampil membuat laporan.

Katanya, ia berikutan siasatan polis mendapati tiga mangsa cedera akibat kejadian berkenaan.

“Kebakaran dipercayai dicetuskan dengan tidak sengaja oleh seorang wanita dan anaknya.

“Siasatan mendapati seorang kanak-kanak ditemani ibunya bermain mercun happy boom telur naga dan dipercayai dibaling ke atas meja jualan bunga api terbabit,” katanya.

Katanya, dua peniaga berusia 30-an yang menjual bunga api berkenaan ditahan Ahad lalu sebelum dibebaskan selepas diambil keterangan.

Muhd Nur berkata, siasatan mendapati peniaga terbabit mempunyai permit menjual mercun jenis pop pop dan happy boom dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu itu, orang ramai yang sibuk membeli keperluan Aidilfitri pada saat akhir dikejutkan dengan kebakaran gerai menjual bunga api dan mercun di depan sebuah bank di bandar berkenaan.

Kebakaran itu turut merosakkan siling di kaki lima bank berkenaan.

Selain kebakaran gerai itu, lima peratus struktur hadapan sebuah bank rosak dan beberapa kenderaan turut dilaporkan rosak – hmetro