Kuantan: Seorang pelancong warga Korea Selatan cedera di kepala selepas diserang sekumpulan kera liar di Pantai Teluk Chempedak, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Pyoeng Seok, 69, mengalami kecederaan selepas terjatuh ke atas batu ketika diserang haiwan berkenaan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, sebelum kejadian, mangsa berjalan seorang diri menuju ke Teluk Tongkang di pantai berkenaan sebelum menyedari kehadiran sekumpulan kera di belakangnya.

“Sebaik menoleh, kumpulan kera liar itu melompat dan menyerang mangsa.

“Mangsa tidak sempat mempertahankan diri dan terjatuh ke atas batu sehingga mengalami pendarahan di kepala,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil.

-myMetro