TELUK INTAN: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya dikatakan merempuh sebuah jengkaut di Jalan Perindustrian Kantan 3, di sini, pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 30-an cedera di muka dan kaki selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya, remuk selepas merempuh tayar jentera berat berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Pegawai Kanan Bomba ll Kamrudzaman Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 1.11 tengah hari.

Menurut beliau, setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan jengkaut.

“Kereta berkenaan dipercayai merempuh tayar jengkaut yang sedang bergerak, mengakibatkan kereta mangsa remuk di bahagian hadapan, manakala tayar belakang sebelah kanan jengkaut pecah,” katanya.

Beliau memberitahu, pemandu jengkaut yang juga berusia dalam lingkungan 30-an, tidak cedera.

Ujarnya, pihak bomba mengeluarkan mangsa dari dalam kereta dan menyerahkannya kepada paramedik untuk tindakan selanjutnya.