Kuala Lumpur: Seorang lelaki terselamat apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an dilaporkan gagal mengawal motosikalnya di susur masuk menuju ke Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini.

Pada masa sama, pengguna jalan raya melalui jalan berkenaan memberhentikan kenderaan dan memberikan bantuan kepada mangsa yang terbaring di atas laluan lima lorong itu.

Mereka membantu memberikan rawatan awal selain menasihatkan mangsa yang berlumuran darah supaya tidak bergerak bagi mengelak kecederaan lebih serius.

Tidak lama selepas itu, dua kereta peronda polis (MPV) yang melakukan rondaan serta tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, tiba dan membantu mengawasi lalu lintas.

Ini kerana, kenderaan yang datang dari arah Jalan Istana didapati dipandu dalam keadaan agak laju.

Kira-kira 15 minit kemudian, sebuah ambulans bersama beberapa pegawai perubatan tiba dan membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Mangsa mengalami kecederaan parah namun keadaannya dilaporkan stabil – hmetro