BATU GAJAH: Polis menahan tiga lelaki setakat ini, berikutan kejadian seorang lelaki cedera di leher dipercayai terkena peluru sesat, ketika membersihkan kebunnya di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya turut merampas selaras senapang buatan sendiri yang dipercayai digunakan di dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki yang berumur antara 20 dan 60 tahun itu ditahan reman selama empat hari, bermula hari ini (18 – 21 Januari).

“Setakat ini pihak polis telah menemui petunjuk yang jelas tentang siapa yang melakukan perbuatan ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang Rabu, Muhammad Safwan Abu Jaapan, 20, cedera dileher, disyaki terkena tembakkan peluru sesat, ketika sedang membersihkan kebunnya di belakang Taman Kinta Perdana, di sini.

Siasatan dijalankan oleh pihak Polis di bawah Seksyen 37 Akta Senjatapi 1960.

Ahmad Basri berkata, kertas siasatan yang dibuka sedang disiapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut.

Beliau memberitahu, mangsa telah selesai menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.