IPOH: Kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat setempat dalam
pencegahan jenayah melalui inisiatif kejiranan dan bandar selamat harus dilakukan untuk mendukung misi menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Naib Presiden Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dalam konteks Malaysia, ianya mewakili hubungan antara kerajaan dan rakyat dalam menangani sebarang perlakuan jenayah melalui rekabentuk persekitaran, pembangunan komuniti dan pendidikan yang tepat.

Katanya, bandaraya atau kejiranan yang selamat secara harfiah menandakan ianya bebas dari jenayah serta rasa takut kepada jenayah, malah terma tersebut digunakan bagi inisiatif sama di kesemua negara maju.

“Kerjasama rapat antara agensi penguatkuasa, badan-badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat dan syarikat perniagaan dan orang ramai sebenarnya juga mampu menyelesaikan jenayah sekaligus meningkatkan kepercayaan terhadap polis,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis makan malam MCPF Perak di Syuen Hotel, pada malam Ahad.

Pada majlis itu, pihak MCPF telah menerima sumbangan bernilai RM20,000 daripada pihak Water Front Kinta dan Alpine Medical Industries.

Lam Thye berkata, sejak awal penubuhannya, MCPF telah giat mempromosi inisiatif
tersebut sebagai pendekatan kepolisan masyarakat yang terbaik.

Ujar beliau, selain memberi impak positif kepada pencegahan jenayah inisiatif terbabit bakal menerapkan semangat kejiranan yang tinggi serta mengukuhkan kerjasama di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurutnya, inisiatif tersebut turut memerlukan kolaborasi utuh daripada pihak perancang dan arkitek bandar yang merancang rekabentuk sehinggalah ke pihak pemaju yang membangunkan kakitangan awam yang menguruskan dan mereka yang menghuni bandar tersebut.

“Sebagai contoh terdekat, di bawah konsep Pencegahan Jenayah Melalui Rekabentuk Persekitaran atau CPTED, rekabentuk yang sesuai dan penggunaan efektif persekitaran fizikal sebenarnya mampu untuk mengurangkan jenayah serta meningkatkan kualiti kehidupan,” katanya.