KUALA TERENGGANU: Seorang wanita dan adiknya berdepan detik cemas apabila van yang sarat dengan muatan aiskrim dinaikinya tiba-tiba terbakar berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah di Kampung Bukit Besar, di sini, petang ini.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika Nur Atiqah Anua, 28, dari Kampung Mengadang Baru, di sini, memberhentikan van dipandunya di bahu jalan untuk memeriksa bahagian belakang kenderaannya selepas terhidu bau petrol, jam 4.50 petang tadi.

Ketika ke bahagian belakang van, Nur Atiqah mendapati generator yang sarat dengan muatan petrol terbalik sebelum terbakar ketika cuba untuk mengangkatnya.

Nur Atiqah berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bersama adiknya, Siti Mardhiah, 12, dalam perjalanan pulang selepas membatalkan hasratnya untuk menjual aiskrim di hadapan SK Pasir Panjang.

“Ketika ke arah belakang van, saya dapati punca bau petrol itu disebabkan generator terbalik. Ketika saya cuba mengangkatnya semula, tiba-tiba berlaku percikan api.

“Saya mengarahkan Siti Mardhiah yang ketika itu masih berada di sebelah pemandu segera turun menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Berikutan kebakaran itu, Siti Mardhiah kerugian lebih RM35,000 apabila van bernilai RM25,000, mesin aiskrim berharga RM4,500, generator dan wang tunai hasil jualan, hangus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera dihantar ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang.

“Tiada kecederaan berlaku dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya – berita harian