KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun dan anaknya berusia 20-an hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, pagi ini untuk dirakam percakapan berhubung satu siasatan terhadap badan itu.

Sumber berkata, mereka hadir ke pejabat SPRM kira-kira jam 9.30 pagi tadi dan masih diambil keterangan sehingga kini.

“Setakat ini tiada arahan penahanan,” kata sumber kepada BH.

Pada 9 Januari lalu, SPRM merampas 69 kotak berisi dokumen perjanjian dipercayai membabitkan dakwaan skandal projek yang dianggarkan bernilai RM500 juta.

Semua dokumen itu dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan rundingan terus yang diperkatakan sebelum ini, kerugian di pihak kerajaan dan penipuan kepada orang awam.

Susulan itu, dua kotak lagi mengandungi 71 dokumen turut dirampas SPRM pada 11 Januari lalu.

Selepas itu, media melaporkan SPRM menjalankan siasatan terhadap anak kepada seorang pegawai kanan kerana dipercayai terbabit kerana satu daripada tiga syarikat yang diserbu itu didakwa mempunyai kaitan dengan anak pegawai kanan berkenaan – Berita harian