PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazri Hassan, 47, maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di sini pada jam 12.20 tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Rizal Buang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah hari memaklumkan mengenai kejadian kebakaran di sebuah rumah berkembar dua tingkat di Mutiara Homes.

Katanya, 13 anggota diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara tiba di lokasi kejadian pada jam 12.46 tengahari.

“Sebaik sampai, anggota dan pegawai mendapati sebuah bilik di tingkat dua rumah berkenaan sedang terbakar.

“Api berjaya dikawal satu minit kemudian dan di dalam bilik itu, pasukan bomba menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rizal berkata, mangsa kemudian berjaya dibawa keluar dari bilik berkenaan dan disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, ketika kejadian, Mohd Rizal berseorangan dalam bilik di tingkat atas, manakala isteri serta anak lelakinya berada di ruang tamu di tingkat bawah.

Siasatan punca kebakaran masih dijalankan pihak bomba.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata ketika dihubungi berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat kebakaran dan jenazah di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas berpunca asap selain melecur 30 peratus pada bahagian badan akibat kebakaran.

“Kematian mangsa disahkan oleh seorang pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh yang membuat pemeriksaan pada tubuh mangsa.

“Mayat mangsa kini dihantar ke PPUM untuk proses bedah siasat,” katanya – berita harian