KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner, ketika ini menghabiskan baki cuti sehingga kontrak perkhidmatannya tamat berkuat kuasa 1 Julai depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang mengesahkan perkara itu berkata keputusan pegawai kanan SSM berkenaan disampaikan menerusi surat rasmi, pertengahan April lalu.

“Beliau ada utus surat pada saya, menyatakan ingin bercuti,” katanya pada sidang media di Menara SSM, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata berikutan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abd Aziz diberi mandat untuk memikul tugas Zahrah, sehingga keputusan untuk melantik pengganti baharu dibuat pengurusan tertinggi.

Pada 9 Januari lalu, SPRM merampas 69 kotak berisi dokumen perjanjian dari ibu pejabat SSM, dipercayai membabitkan dakwaan skandal projek agensi terbabit yang dianggarkan bernilai RM500 juta.

Kesemua dokumen berkenaan dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak, termasuk dakwaan rundingan terus yang didakwa sebelum ini, kerugian di pihak kerajaan dan penipuan kepada orang awam.

Susulan itu, sebanyak 71 kotak dokumen turut dirampas SPRM pada 11 Januari lalu – Berita harian