IPOH: Bekas Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Syed Mokhtar Syed Idris menceritakan beberapa peristiwa yang cukup mencabar ketika beliau bertugas di negeri ini.

Menurut beliau, peristiwa bermula pada 2012 apabila pihaknya telah merombak tindakan penguatkuasaan dan sistem yang dilaksanakan untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan ketirisan.

“Dua tahun selepas itu, sumbangan hasil batuan mendadah naik sehingga kita mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan,” katanya ketika berucap mewakili pesara kerajaan dalam majlis Jasamu Dikenang di Hotel Casuarina @ Meru di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan turut dihadiri beberapa anggota Exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Syed Moktar berkata, kejayaan meningkatkan hasil kutipan itu bukanlah mudah kerana pelbagai cabaran beliau dan kakitangan PTG terpaksa hadapi.

Menurutnya, antara cabaran itu termasuk rumah kakitangan dilontar dengan bom petrol dan keluarga diugut oleh tonto.

Malah, beliau sendiri sentiasa diekori oleh tonto.

“Setiap kali saya keluar pintu, saya akan di ‘escort’ oleh tonto sehingga ke sempadan negeri,” ujarnya.

Syed Mokhtar menambah, beliau juga terpaksa menukar seorang pegawai dari sebuah daerah kerana tonto masuk ke rumah dan mengugut keluarganya.