Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Walaupun penjelasan telah diberikan mengenai dakwaan kononnya seorang pegawai kanan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) menggunaan sijil akademi palsu, tetapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang masih mengulangi dakwaan yang sama.

Terbaharu, Naib Pengerusi PKR Perak itu menyerahkan memorandum berkenaan hal tersebut kepada wakil Setiausaha Kerajaan Negeri di pekarangan pintu masuk bangunan SUK, di sini, hari ini.

Pada 18 Julai lalu, Chang Lih Kang dalam sidang media mendesak kerajaan negeri supaya campur tangan dan menyiasat pelantikan jawatan pegawai di agensi kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan sijil akademik palsu.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 19 Julai berkata, kerajaan negeri memandang serius dakwaan berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana ia sedang disiasat polis selain telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Di sini bukan bermakna saya hendak mempertahankan pegawai yang berkenaan. Paling penting kita mahu tahu kebenarannya kerana saya dimaklumkan dia juga mempunyai ijazah dari UiTM (Universiti Teknologi Mara).

“Ketika mula-mula diambil bekerja, dia menggunakan ijazah yang mana, itu cukup penting. Soal sama ada universiti yang berkenaan itu palsu juga perlu disiasat,” ujar Dr Zambry ketika menghadiri Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Muallim ketika itu.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan Naib Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang supaya tidak hanya mendedahkan sijil akademik pegawai kerajaan, sebaliknya turut menyiasat penggunaan sijil akademik palsu di kalangan pemimpin pembangkang, seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Pada sidang media yang diadakan ketika menyerahkan memorandum hari ini, Chang Lih Kang terus membuat dakwaan yang sama.

Di samping itu, kata wakil rakyat Teja itu, beliau juga telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan dan meminta agar siasatan segera dijalankan bagi memastikan integriti perkhidmatan awam dipelihara.

Bagaimanapun, dakwanya lagi, tempoh seminggu sejak laporan polis terdahulu telah berlalu dan pihaknya mengharapkan tindakan lanjut dibuat untuk mengelakkan isu ini ini tidak diendahkan.

Beliau juga mendakwa isu lantikan pegawai menggunakan sijil akademik palsu merupakan sesuatu yang serius dan perlu dibendung dengan segara.