KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pukul 10.45 pagi tadi untuk disiasat berhubung kenyataannya mengenai pendakwah bebas, Dr Zakir Naik.

Sebaik tiba di perkarangan Bukit Aman, beliau sempat berbual bersama sekumpulan penyokongnya yang berada di situ sejak awal lagi.

Wakil rakyat itu merupakan salah seorang daripada lima individu yang dinamakan oleh Dr Zakir Naik dalam laporan polis yang dibuatnya baru-baru ini.

Empat yang lain ialah Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius.

Dalam laporan yang ditulis sendiri oleh Zakir, beliau turut menyenaraikan beberapa pautan laporan berkaitan dakwaan semua individu berkenaan.

Zakir juga mendakwa, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat semua individu berkenaan mengikut Akta Hasutan 1948 atau mana-mana akta berkaitan fitnah yang dibuat terhadapnya. – MalaysiaGazette