SELAMA: Seorang lelaki dari Kampung Tanjung Lengkong, Bukit Bertam, di sini terpaksa tinggal dalam sebuah pondok usang sejak 13 tahun lalu, kerana kesempitan hidup.

Tanpa bekalan elektrik dan air, Che Hat Jusoh, 55, menjalani kehidupan sendiri bertemankan lampu minyak tanah dan tikar sebagai alas tidur.

Katanya pondok itu dibina sendiri di atas tanah milik bapa saudaranya di kebun tepi sungai menggunakan kayu dan dindingnya hanya menggunakan plastik.

Che Hat bekerja mengambil upah membuat rumah dengan pendapatan RM50 sehari untuk menyebabkannya tidak mampu mencari kediaman lebih selesa.

“Kerja pun bukan selalu ada, dalam seminggu mungkin dapat dua hari saja, hari-hari lain menganggur, manalah mampu nak sewa rumah,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Dakwanya, dia mengalami kesukaran untuk memohon sebarang bantuan kerana tidak memiliki Mykad selepas semua dokumen pengenalan diri musnah akibat banjir kira-kira 20 tahun lalu.

Dia juga malu untuk ‘menjaja’ kepayahan hidup dan menjalani rutin harian di pondok berkenaan berbelas tahun lamanya.

Nasib Che Hat mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin yang menawarkan bantuan sewa rumah berhampiran kampung itu menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Pusat Khidmat Ahli Parlimen Larut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama berkata, Che Hat lelaki akan dibawa berpindah serta merta dan kerja-kerja meroboh pondok akan dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau telah meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membantu menyegerakan proses mendapatkan Mykad baru lelaki berkenaan.

“Minta maaflah dari pihak kami sebab kami pun baru dapat maklumat tentang ini. Cuma sekarang ini perlantikan ketua kampung masih belum lagi, mungkin dalam beberapa bulan.

“Sekarang ni kita baru melantik JSPK, Jawatankuasa Sementara Kampung, itu pun belum kesemuanya lagi. Jadi kita harap selepas ni JSPK dan juga ketua kampung yang bakal dilantik harap dapat melihat seluruh anak buahnya di seluruh kampung dan memberi maklum kepada kita.

“Kita tak mau lagi ada masyarakat kita pada zaman ini hidup seperti ni di dalam ini,” ujarnya.

Beliau turut meminta masyarakat kampung, khususnya jiran-jiran perlu turut memainkan peranan untuk memaklumkan kepada pihak berwajib supaya masalah rakyat dapat diselesaikan.