BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan tuduhan kononnya Malaysia akan dijajah oleh China menerusi pelaburan syarikat-syarikatnya di negara ini.

Beliau memberitahu, ianya amat mustahil untuk China menjajah Malaysia kerana pelaburan langsung asing (FDI) negara itu hanya 3.3 peratus daripada keseluruhan FDI diterima negara ini.

“Mereka kata China akan membeli maruah orang Malaysia tetapi pelaburan negara China hanya 3.3 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan FDI di negara ini.

 

“Ianya tidak mungkin China boleh menjajah kita, mereka mahu membantu kita dan kita seharusnya memberi kerjasama,” katanya ketika berucap dalam majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Komersial Simpang Empat, Hutan Melintang, Bagan Datuk pada Sabtu.

 

Menurut beliau, pelaburan itu sebaliknya akan membantu  pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa depan.

 

Malah Timbalan Perdana Menteri memberitahu, melalui lawatannya ke negara itu baru-baru ini, China telah bersetuju untuk melabur di Bagan Datuk. 

 

“Ketika lawatan itu mereka tahu saya mewakili Bagan Datuk yang baru sahaja menjadi daerah penuh.

 

“Mereka telah bersetuju dan berjanji untuk meletakkan pelaburan yang besar di Bagan Datuk..saya tak nak umumkan apa-apa lagi, cuma tunggu sahaja nanti,” ujarnya.

 

Dalam ucapan sama, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyeru rakyat negara ini menghargai keamanan dan kebebasan yang dinikmati ketika ini.