PUTRAJAYA: China tidak akan mengenakan sebarang sekatan ke atas minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya, kata Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Sebaliknya, Bai Tian berkata, China akan mengimport lebih banyak produk utama seperti minyak sawit dan produk berasaskan getah dari Malaysia pada masa depan.

“Kita tidak akan mengenakan sebarang had import bagi minyak sawit dan produk berkaitan dari Malaysia. Malah, tiada sebarang had bagi import tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong di pejabat Mah di sini, hari ini.

Malaysia mengeksport minyak sawit dan produk berasaskannya bernilai RM8.52 bilion ke China bagi tempoh Januari sehingga November tahun lepas berbanding RM7.76 bilion bagi tempoh sama 2016, iaitu peningkatan sebanyak 9.8 peratus.

Dalam pada itu, Bai turut memberi jaminan akan menggalakkan lebih ramai ahli perniagaan China untuk melabur dalam industri utama, khususnya biomas di Malaysia.

Mengulas pasaran biodiesel China, beliau berkata, penggunaan diesel dan biodiesel B5 pada 2016 masing-masing dianggarkan 165 juta tan dan 8.25 juta tan manakala pengeluaran biodiesel adalah 300,000 tan pada 2015.

“Ini bermakna, kita perlu mengimport sebanyak 8 juta tan biodiesel. Bagi saya, ini adalah berita baik untuk pengeluar diesel berasaskan sawit dan berharap Malaysia akan merebut peluang keemasan ini,” katanya.

Sementara itu, Mah berkata China adalah pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya selepas Kesatuan Eropah (EU) bagi keperluan biobahan api.

“China sudah mengambil alih kedudukan India sebagai destinasi eksport kedua utama bagi minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya.

“Kita menjangkakan China menjadi pengimport terbesar komoditi negara dalam masa dua tahun,” katanya.

Mah berkata, kementerian itu menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang menjalankan kajian bersama dengan Tsinghua University di China membabitkan biodiesel B5.

Dalam pada itu, mengulas cadangan larangan EU membabitkan minyak sawit termasuk dari negara ini, Mah berkata Malaysia bergiat aktif bagi mempelbagaikan pasaran baharu termasuk Iran, Vietnam, Filipina, Jepun dan Timur Tengah.

“Saya amat gembira (dengan kenyataan) tiada sebarang had siling bagi eksport minyak sawit ke China.

“Kita juga dalam usaha memperluaskan pasaran dan berharap setiap negara akan terus membeli produk minyak sawit Malaysia. Kita juga berharap isu ini (larangan EU) dapat diselesaikan dalam keadaan yang akan menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Menyentuh getah dan produk berasaskannya, Mah berkata China telah mengatasi Amerika Syarikat dan EU sebagai destinasi eksport utama Malaysia.

Katanyanya, Malaysia mengeksport produk itu yang bernilai RM7.45 bilion ke China bagi tempoh Januari sehingga November tahun lepas iaitu kenaikan sebanyak 76 peratus berbanding RM4.23 bilion bagi tempoh sama pada 2016. –BERNAMA