KUALA LUMPUR: Semakin meningkat usia, semakin ramai musuhnya.

Itu situasi yang perlu dilalui jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berdasarkan peningkatan yang dipamerkan pemain negara lain terutama yang masih muda di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia itu masih dianggap pencabar utama dan pemain yang perlu ditewaskan oleh setiap musuhnya biarpun kini sudah berusia 36 tahun.

Dengan prestasi menakjubkan dipamerkan bintang muda Jepun, Kento Momota sejak kembali beraksi sebaik tamat penggantungannya pertengahan tahun lalu, cabaran semakin sukar buat Chong Wei dan musuhnya semakin bertambah menjelang Kejohanan Dunia di Nanjing pada Julai dan Sukan Asia di Jakarta, Indonesia (Ogos).

Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan berkata, Chong Wei tidak mempunyai pilihan selain menerima hakikat yang musuhnya semakin bertambah dan dia perlu terus fokus untuk kekal bersaing di peringkat tertinggi.

“Sebelum ini, pemain seperti Lin Dan (China), Chen Long (China), Shi Yuqi (China), Viktor Axelsen (Denmark) dan K Srikanth (India) sering menjadi ancaman utama kepada Chong Wei. Namun, kini ia bertambah seorang lagi iaitu Momota, semua orang boleh lihat yang dia kini pada tahap prestasi terbaiknya.

“Ini sudah pasti memberikan cabaran yang lebih sukar kepada Chong Wei menghadapi kejohanan-kejohanan utama terutama Sukan Asia yang menjadi sasaran utamanya. Sebagai jurulatih, apa yang paling penting adalah saya mahu melihat semangatnya.

“Jika dia masih kekal bersemangat dan ada keinginan tinggi, dia mampu untuk mengharunginya. Dengan pengalaman yang dia miliki sepanjang kerjayanya, Chong Wei boleh lakukan,” kata Hendrawan.

Momota dilabel sebagai bintang masa depan dengan aksi luar biasanya dalam setiap kejohanan yang disertai termasuk ketika menjuarai Kejohanan Badminton Asia, bulan lalu dengan menewaskan Chen Long di pentas final.

Sebelum itu, Momota mara ke final dengan menyingkirkan Chong Wei di peringkat separuh akhir.

Pada kempen Piala Thomas di Bangkok, Thailand, minggu lalu, Momota yang digantung selama setahun oleh Persatuan Badminton Jepun kerana berjudi turut beraksi cemerlang apabila membantu negaranya mara ke final sebelum tewas 1-3 di tangan China.

Sepanjang kejohanan itu, Momota yang berusia 23 tahun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam setiap perlawanan termasuk menumbangkan Chen Long di final – berita harian