SITIAWAN: Seramai 62 pekerja binaan didapati tidak memiliki kad pemerakuan personel binaan dalam satu operasi bersepadu dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama agensi penguatkuasaan di sebuah tapak projek perumahan di Segari, semalam.

Pengarah CIDB negeri, Ismail Mat Nor berkata, daripada jumlah itu, 56 adalah pekerja asing manakala enam lagi pekerja warga tempatan.

“Dalam operasi ini, kita memeriksa 98 pekerja dan daripada jumlah itu, hanya 27 mempunyai kad pemerakuan personel binaan dan sembilan lagi pekerja asing yang memiliki kad tersebut telah tamat tempoh.

“Hasil operasi hari ini, kita mendapati syarikat pemaju dan kontraktor tidak mematuhi dan peka kepada keperluan undang-undang kerana mengambil pekerja tidak mempunyai kad pemerakuan personel binaan,” katanya pada sidang media di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Cawangan Manjung.

Operasi bersepadu selama tiga jam bermula 11 pagi itu melibatkan 80 anggota daripada CIDB, ABM, Jabatan Imigresen Perak, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP), Suruhanjaya Tenaga Negeri Perak, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ismail berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis N1 kepada pemaju dan kontraktor utama serta notis N2 kepada enam subkontraktor di tapak projek tersebut bagi mendapatkan maklumat senarai pekerja dan maklumat projek binaan dengan lebih terperinci dalam tempoh 14 hari.

“Jika kita masih tidak mendapat maklumat daripada syarikat pemaju tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, mereka akan dikenakan kompaun RM500 dan kadar kompaun itu berjalan setiap hari sehingga pihak CIDB mendapat maklumat daripada syarikat pemaju,” katanya.