BAGAN DATUK: Guru itu ibarat lilin, sanggup membakar diri sendiri demi menerangi insan lain.

Begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan terhadap Mohd Yunus Abd Rahim, 74, seorang pendidik yang cukup disegani di sekitar Kg Sungai Tiang Darat, yang kini terlantar selepas diserang angina ahmar (stroke).

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhd Amin Zakaria berkesempatan melawat insan yang telah mengabdikan lebih separuh abad daripada hidupnya sebagai pendidik.

“Ketika melawat beliau, bersama wakil beberapa agensi, saya berasa sangat hiba melihat keadaan pejuang nasibnya yang sebelum ini cukup aktif baik dalam dunia politik atau kebajikan penduduk kampungnya.

“Cikgu Yunus, sebelum ini pernah diserang angin ahmar atau stroke sebanyak dua kali, hanya mampu terlantar di katil sepanjang hari dan tidak bermaya.

“Walaupun menerima rawatan percuma di Hospital Teluk Intan sebagai pesara awam, pihak kerajaan negeri akan meneliti jenis bantuan yang boleh diberikan kepada beliau baik dari segi kewangan, bantuan lampin pakai buang atau bantuan makanan untuk meringankan beban keluarganya,” katanya kepada Suara Perak.

Ketika ditemui, Cikgu Yunus, panggilan mesranya dilihat terlantar dan hanya mampu tersenyum bertegur sapa dengan Dr Amin yang juga seorang pendidik serta sahabat lamanya.

Dr Amin berkata, sebelum ini bekas guru itu pernah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Almarhum Sultan Azlan Shah, namun ramai yang tidak mengetahui kisah hidupnya yang menyayat hati.

Tidak dapat menahan kesedihan, Dr Amin juga dilihat menitiskan airmata ketika berbual mengenai perjalanan hidup Cikgu Yunus yang sebelum ini pernah menyandang jawatan Setiausaha UMNO Bahagian Bagan Datuk sekitar tahun 90-an.

Beliau juga mempunyai pengalaman sebagai bekas Yang DiPertua PIBG SMK Tun Abdul Razak Selekoh dan Ketua UMNO Cawangan Tebuk Kiyai Suyut, malah berkhidmat sebagai Ketua Kampung Sg Tiang Darat untuk beberapa penggal.

Dr Mohd Amin berkata, pemilihan Cikgu Yunus untuk kesemua jawatan tersebut adalah disebabkan peribadi beliau yang sememangnya suka menolong orang tanpa mengira masa dan latar belakang.

“Orang kampung memberitahu saya, dia seorang yang pemurah dan tidak lokek untuk menghulur bantuan sama ada wang ringgit, masa dan tenaga di samping sikap rendah diri yang membuatkan beliau cukup disayangi oleh orang kampung.

“Malah, walaupun dalam keadaan beliau terpaksa menyara hidup keluarganya dan adik beradiknya beliau tidak pernah mengeluh, ramai antara anak buahnya yang mendapat bantuannya untuk mengambil peperiksaan SPM atau STPM dan tinggal bersamanya sehingga habis belajar.

“Lebih mengharukan, untuk anak-anak kampung, hampir setiap malam beliau mengadakan kelas tambahan percuma sebagai persiapan menghadapi peperiksaan.

“Pernah beberapa kali beliau pergi ke Hospital Teluk Intan di tengah tengah malam kerana menghantar orang kampung yang sakit, wanita mahu bersalin dan sebagainya dengan kereta buruk Peugeot atau Datsun 120Y atau Fiat Mirafiori yang pernah dimilikinya,” katanya lagi.

Dr Mohd Amin berkata, semua usaha yang diberikan itu adalah pengalaman Cikgu Yunus yang sebelum ini pernah menumpang di surau Pak Kiyai Haji Sayuti dan membayar sewa dengan menebas kebun pemilik itu akibat kesempitan hidup.

“Pelbagai pengorbanan telah diberikan Cikgu Yunus, inilah erti pendidik dan seorang pejuang ilmu yang sebenar, kami akan bantu apa yang termampu untuk keluarga mereka,” ujarnya.