IPOH: Kumpulan Pengakap Terbuka Shiang Yang Bercham (KPTSYB) menjadi kebanggaan Perak apabila mencipta rekod ketiga dalam The Malaysia Book Of Records (TMBOR) dengan pembinaan Struktur Perintis Pengakap Terpanjang di Malaysia.

Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Perak Voon Yeow Hong berkata, pengikitirafan berkenaan merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan luar biasa.

“Bukan sahaja di Perak atau Malaysia tetapi di seluruh dunia, pencapaian ini amat luar biasa kerana kita telah menetapkan tiga rekod kebangsaan.

“Kita telah pun mempunyai harapan untuk cuba membina sesuatu yang lebih hebat dari ini untuk rekod keempat pada tahun 2020 nanti,” katanya kepada pemberita di Bercham pada Sabtu.
Dalam majlis itu, pengiktirafan tersebut telah diberikan oleh wakil TMBOR sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Yeow Hoong memberitahu, struktur bernilai RM20,000 itu telah dipasang sendiri oleh ahli-ahlinya tanpa menggunakan peralatan moden selain kayu dan tali.

“Stuktur mega dengan kepanjangan 80 meter tersebut dipasang oleh ahli-ahli yang terdiri daripada 30 pelajar serta komuniti Bercham.

“Kita telah gunakan 1,600 kayu bakau serta buluh dan mengambil masa lebih kurang sebulan.

“Ini yang kita mahu tonjolkan kepada khayalak iaitu pengakap ini, bukan hanya kelab sekolah biasa, tetapi ianya lebih kepada pegangan hidup dan disiplin,” jelasnya.

Dalam majlis berkenaan seramai 1,600 ahli pengakap seluruh negara termasuk Brunei, Singapura, Jepun dan Taiwan telah datang menyaksikan peristiwa bersejarah berkenaan.

Sebelum ini KPTSYB telah mencipta dua rekod di bawah TMBOR iaitu Stuktur Sarang Burung Perintis Pengakap terbesar dan Menara Perintis Pengakap Tertinggi di Malaysia.