TAPAH – Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim meminta persatuan perniagaan mencontohi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdsama) yang menyediakan platform pengiklanan kepada usahawannya.

“Persatuan usahawan lain harus ikut jejak langkah Perdasama Perak yang mempunyai lebih 600 ahli mengadakan kerjasama dengan Koperasi Usahawan Bersatu Berhad (KUBB) hingga berjaya mempromosi dan memasarkan produk serta perkhidmatan 21 usahawan di Perak menerusi rangkaian Sistem Keretapi Elektrik (ETS).

“Ini membolehkan usahawan berkenaan mengiklankan produk mereka kepada penumpang ETS di tujuh negeri bermula dari utara hingga selatan,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Pengiklanan Usahawan Perdasama, semalam.

Katanya, keprihatinan Perdasama memberikan tumpuan kepada pembangunan ahli tanpa melibatkan politik juga wajar diberi pujian.

“Inilah yang kerajaan negeri inginkan di mana persatuan perniagaan mengetepikan soal politik dan memainkan tanggungjawab kepada ahli serta pada masa sama mendapat sokongan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Perdasama, Tan Sri Matshah Safuan berkata, promosi produk dan perkhidmatan 21 usahawan Perdasama ini akan menyusuri tujuh negeri bermula dari Gemas, Negeri Sembilan hingga Padang Besar, Perlis selama tiga bulan.

“Langganan paparan iklan di belakang kerusi ETS ini dibuat secara perkongsian di kalangan 21 usahawan terlibat dan ia membantu mereka mendapat peluang memasarkan produk melalui pengiklanan di ETS.

“Saya berharap selepas ini lebih ramai lagi usahawan Perdasama yang lain tampil untuk melakukan iklan seumpama ini dalam memperluaskan lagi perniagaan mereka,” katanya – sinar