SHAH ALAM : Gambar pemilik Twitter @jiaqing28512216, gadis Cina yang memakai hijab perlu dijadikan contoh kepada masyarakat terutama umat Islam supaya menutup aurat dengan sempurna

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menyifatkan tindakan gadis itu sebagai suatu perkara yang baik malah wajar diteladani dengan menilai semula cara pemakaian kita.

“Walaupun dia bukan Islam namun tindakannya bertudung tidak menjadi kesalahan. Kita sepatutnya jadikan ia sebagai contoh yang baik.

“Dalam Islam tiada halangan untuk bertudung dan sangat digalakkan bagi penganut agama lain untuk berpakaian sopan memandangkan ini negara Islam. Tindakan gadis itu tidak salah melainkan jika pemakaiannya seolah-olah memperlekehkan agama kita

Dalam pada itu Abdul Rahman menegaskan kita sewajarnya menutup aurat dan menjaga adab tanpa mengira agama dan bangsa.

“Kita dapat lihat ramai penganut agama lain memakai baju kurung dan menjadi ikutan dalam kalangan mereka untuk berpakaian sebegitu.

“Beradab dalam pemakaian sangat dituntut sebagai tanda menghormati kepelbagaian agama yang ada, jika sebaliknya berlaku sudah tentu seakan-akan mencabar kedudukan agama Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, mungkin permulaan dia bertudung menjadi punca untuknya tertarik dengan Islam dan sekali gus mampu mengajak lebih ramai lagi.

Baru-baru ini, tular gambar gadis berketurunan Cina bertudung dan mendapat reaksi positif daripada netizen malah ramai yang mendoakan kebaikan gadis itu.