IPOH: Semua agensi kerajaan Persekutuan khususnya yang terlibat dengan pembangunan tanah-tanah negeri, wajar mencontohi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dalam menyumbang semula dan melunaskan tanggungjawab kepada pihak berkuasa negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau tidak mahu membuat perbandingan namun FELCRA menjadi suri teladan dengan sentiasa bersama-sama kerajaan negeri dalam perbincangan dan kerjasama berkaitan pembangunan tanah.

Selain itu, katanya, FELCRA juga pada setiap tahun, membantu kerajaan negeri dengan memberi sumbangan sumbangan dana lebihan hasil pembangunan tanah-tanah, untuk dikembalikan dalam bentuk manfaat kepada negeri dan rakyat Perak.

“Saya tidak mahu membuat perbandingan tetapi saya mahu menasihatkan pihak lain agar dapat mencontohi FELCRA,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan cek lebihan pendapatan 2017 daripada FELCRA Berhad kepada Kerajaan Negeri Perak.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Dr Zambry berkata, pada tahun ini, agensi kerajaan persekutuan itu menyerahkan sebanyak RM4.84 juta kepada kerajaan negeri termasuk baki bayaran sebanyak RM1.48 juta yang diterima pada hari ini.

Beliau berkata, semua sumbangan itu akan dipulangkan kepada rakyat melalui program-program pembangunan dan pembelaan rakyat seperti program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.