TAPAH: Kepimpinan wakil rakyat di Parlimen Tapah wajar menjadi contoh yang baik kepada pentadbiran negeri khususnya dari segi kesatuan kaum yang melibatkan kerjasama semua pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, berdasarkan penelitian sepanjang Program Permukiman di Batang Padang, beliau dapat melihat hubungan erat yang terjalin antara masyarakat berbilang kaum dengan pemimpin mereka.

Jelasnya, keunikan tersebut terserlah dengan kepimpinan yang baik oleh Ahli Parlimennya, Datuk M Saravanan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hasan dan ADUN Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon.

“Di Tapah ini, saya melihat sendiri sambutan diberikan oleh masyarakat India begitu baik, termasuk hubungan dengan wakil rakyat mereka iaitu Datuk M Saravanan yang mewakili suara kaum India.

“Malah masyarakat kaum lain turut mendapat impak setimpal sama ada kaum Melayu, Cina mahupun Orang Asli, dia bukan menumpukan kepada kaumnya semata-mata.

“Semua wakil rakyat ini begitu rapat dan menjalankan tanggungjawab dengan amanah kepada masyarakat setempat.

“Jadi, saya amat gembira melihat ketiga-tiga wakil rakyat daripada tiga kaum ini dapat bersama dan ini sebenarnya contoh kawasan parlimen yang amat baik buat semua.

“Sepanjang permukiman ini, komen dan maklum balas daripada masyarakat mengenai perkhidmatan yang mereka terima, juga amat positif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program bersama masyarakat India sempena Permukiman di Batang Padan, di Dewan Kg Samy di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zambry turut mengulas mengenai Memorandum Memohon Jawatankuasa Kemajuan Kaum India (JKKK) di tiga buah kampung di Parlimen Tapah yang diterima daripada wakil MIC pada hari ini.

Katanya, permohonan yang melibatkan pelantikan ketua kampung bagi Kampung Rajoo, Kampung Gajah dan Kampung Lean Wah akan dipertimbangkan mengikut kesesuaian.

“Perak antara negeri yang unggul dengan mewujudkan ketua kampung dari semua kaum, setakat ini sebanyak tujuh kampung di Perak diketuai oleh kaum India.

“Kita memberikan keadilan. Kita ada ketua kampung di kampung-kampung Melayu, di kampung-kampung baru pula oleh kaum Cina dan Orang Asli mempunyai Tok Batinnya.

“Dalam konteks negeri Perak, kita melihat berdasarkan kependudukan dan memorandum itu akan dibawa oleh ADUN Ayer Kuning ke Mesyuarat Exco untuk dibincangkan segera,” katanya lagi.