IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu penjawat awam di negeri ini mencontohi inspirasi kisah Nabi Sulaiman yang tidak tergugat dengan sogokan kebendaan.

Baginda bertitah, penjawat awam hendaklah sentiasa mempertahankan nama baik perkhidmatan awam, teguh dengan prinsip menolak rasuah serta tegas menentang perbuatan salahguna kuasa yang boleh mengakibatkan berlakunya ketirisan hasil negeri.

“Para penjawat awam hendaklah menjadikan inspirasi, kisah Nabi Sulaiman Alaihissalam yang tidak tergugat dengan sogokan kebendaan.

“Baginda secara tegas menolak hadiah yang dipersembahkan oleh Raja Perempuan Negeri Saba seperti yang diriwayatkan dalam ayat 36 surat An-Nml,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Negeri Yang Ke – 13 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Sultan Nazrin bertitah, Islam ialah agama yang syumul, menganjurkan tatacara hidup yang merangkumi segenap aspek, menyentuh hubungan antara hamba dengan Penciptanya serta hubungan sesama insan.

“Demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan hidup terpelihara, manusia perlu sentiasa diingatkan agar membudayakan prinsip amar makruf-nahi mungkar,” titah baginda.

Baginda bertitah, masyarakat Islam Madinah pada zaman Rasulullah terkenal dengan gelaran `khairu ummah’ bermaksud ummah terbaik, ummah yang benar-benar menjiwai prinsip amar makruf-nahi mungkar.

“Untuk membina generasi `khairu ummah’, anggota perkhidmatan awam perlu menjiwai semangat bekerja serta bersifat amanah,” titah baginda.