LUMUT: Konsep sukarelawan yang diamalkan di negara Jepun dan Vietnam dalam membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan gelandangan boleh dijadikan model untuk dilaksanakan di negeri ini.

Pengalaman meninjau sendiri kesukarelawanan di dua buah negara itu membuatkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim yakin standard sukarelawan bukan tertakluk kepada bentuk sumbangan semata-semata.

“Sudah tiba masanya kita fikir satu langkah ke hadapan, pengalaman saya ke Jepun baru-baru ini sangat memberi inspirasi bagaimana mereka menyediakan pusat dobi khusus untuk OKU.
“Lebih 60 orang OKU diberi elaun dan asrama untuk mengusahakan dobi itu, apa yang menarik adalah bagaimana OKU yang sudah boleh berdikari dalam kumpulan akan membantu untuk membuka pusat dobi kepada OKU lain pula.

“Dengan itu, mereka ada dana sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan serta kurang berharap kepada sumbangan korporat,” ujar Rusnah.

Beliau berkata demikian di program Cakna Anak OKU – Fahami, Sayangi, Hargai anjuran Yayasan Bina Upaya dengan kerjasama BAIDURI, National Autism Society of Malaysia (NASOM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Taj International College di Virgo Batik Resort.

Hadir sama, Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak, Rosmahwati Ishak dan Ketua Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Datuk Ismail Saffian.

Dalam pada itu, Rusnah berkata, Vietnam pula melaksanakan program Know One Teach One (KOTO) demi membantu memulakan perniagaan kecil yang boleh diusahakan oleh gelandangan.

“KOTO dalam erti kata kenal seorang, ajar seorang di mana mereka buat satu gerai kecil membantu gelandangan menjual makanan, apabila dapat keuntungan mereka (gelandangan) akan bantu gelandangan lain pula,” katanya.

Rusnah berkata, sistem itu berjaya membasmi golongan gelandangan dengan kewujudan cawangan restoran bertaraf antarabangsa di Vietnam.