TAPAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu Barisan Nasional (BN) di seluruh negara mengambil semangat BN Tapah yang bertoleransi dan berkompromi sesama parti komponen sehingga membawa kepada kemenangan besar di Tapah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menurut beliau, semangat yang diamalkan di Tapah sejak dari dulu lagi telah menjadi resepi kemenangan besar BN di Parlimen Tapah dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Kuning dan Chenderiang.

Beliau berkata, sikap toleransi dan kompromi di kalangan parti-parti komponen BN dapat mengelakkan berlaku perbalahan seperti mana ketika PRU-12 dan PRU-13 lalu sehingga bertegang leher dalam menentukan calon, khususnya di kerusi-kerusi tradisi.

Pada PRU-14 ini, ujarnya, BN merasakan jika ada kawasan yang perlu ditukarkan calonnya atau sesuatu kawasan yang terpaksa dipinjamkann sementara, ia akan dilakukan jika perlu.

“Dalam PRU-13 kita bertegang leher, (kawasan) ini aku punya, akhirnya bila kalah, padan muka engkau, padan muka aku juga. Sebagai wakil rakyat atau pengerusi komponen, semangat toleransi kita mesti tinggi.

“Ertinya, ada tempat yang kita boleh berkompromi, kita kompromi…ada tempat yang kita mahu bertegang leher (pertahankan) kita harus bertegang leher.

“Tetapi demi rakyat demi kemenangan BN kita perlu ketepikan keegoan, ketepikan kepentingan peribadi dan organisasi yang kita wakili, yang penting ialah kemenangan calon BN,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera BN Tapah di pekarangan Pejabat UMNO Bahagian Tapah di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango dan Pengerusi MyPPP Perak, Ong Chee Keng, Pengerusi BN Tapah merangkap ADUN Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan dan ADUN Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN turut meminta semua ahli jentera parti untuk bekerja keras memastikan Perak mampu menang melebihi majoriti dua pertiga di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita mahu dua pertiga majoriti di DUN kerana saya yakin dengan jumlah undi dan kerusi yang bertambah di DUN pastinya ia akan diterjemahkan di peringkat Parlimen,” ujarnya.