KUALA LUMPUR : Sebanyak 39 kes baharu positif COVID-19 dikesan setakat tengah hari tadi menjadikan jumlah keseluruhan 197 kes positif dilaporkan dan antara jumlah kes tertinggi dicatat untuk tempoh satu hari, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 39 kes baharu ini, sebanyak 38 kes dikesan dalam kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19 dan satu kes dari kalangan kontak rapat.

“Hingga kini, sebanyak empat kes sudah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi.

“Semua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.