KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara hari ini menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuan iaitu Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 31 Mac ini.

Mengikut peraturan yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba itu, tiada seorang pun boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan kecuali untuk melaksanakan tugas rasmi dan bergerak ke atau dari mana-mana premis yang disebut dalam perkhidmatan perlu.

Di bawah perkara kawalan pergerakan dan perhimpunan itu juga, pergerakan yang dibenarkan ialah bagi membeli, membekal atau menghantar makanan dan keperluan harian, mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan atau maksud khas lain sebagaimana yang dibenarkan Ketua Pengarah Kesihatan.

Selain itu, tiada seorang pun boleh berhimpun atau terbabit dalam mana-mana perhimpunan dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, sukan, rekreasi, sosial dan kebudayaan.

Bagaimanapun, seseorang boleh berhimpun atau terbabit dalam suatu perhimpunan bagi maksud upacara pengebumian dengan syarat bilangan orang yang hadir ke upacara itu berada pada tahap minimum.

“Tiada seorang pun boleh bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain kecuali dengan kebenaran bertulis pegawai polis yang menjaga balai polis terlebih dulu,” menurut warta berkenaan.

Berdasarkan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara semalam, 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia diisytiharkan sebagai kawasan tempatan jangkitan COVID-19.

Sementara itu, peraturan itu juga menyatakan, seseorang warganegara atau pemastautin tetap Malaysia yang pulang dari luar negara hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan apabila tiba di Malaysia sebelum mendapatkan pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk dan mematuhi apa-apa perintah yang dikeluarkan oleh pegawai yang diberi kuasa.

Warta itu menyatakan individu atau pertubuhan yang melanggar peruntukan dalam peraturan berkenaan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.