IPOH: Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) mengeluarkan arahan tatacara majlis akad nikah di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac ini ekoran COVID-19.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohamad Husin berkata, perintah itu berkuatkuasa serta merta mulai hari ini.

Menurutnya, majlis akad nikah hendaklah dilaksanakan di premis persendirian dan tidak dibenarkan untuk dilaksanakan di tempat awam seperti masjid, surau, dewan atau tempat-tempat awam lain.

“Majlis juga hendaklah mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Di samping itu, katanya, tempoh majlis juga hendaklah dipendekkan tidak melebihi 30 minit.

Mohamad berkata, majlis juga hanya boleh dihadiri oleh seorang juru nikah, dua orang saksi, pasangan pengantin dan seorang wali.

“Majlis tersebut hendaklah dibatalkan jika sekiranya mana-mana pihak yang di atas, telah disahkan atau disyaki jangkitan COVID-19,” ujarnya.