PUTRAJAYA : Satu kluster baharu COVID-19 wujud di pangsapuri Cheras yang dikesan telah menjangkiti enam individu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, besar kemungkinan kluster wabak itu berkait dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa sambutan Aidilfitri.

Katanya, kes pertama kluster itu dikenal pasti daripada ujian saringan terhadap pelajar pusat tahfiz yang dijalankan hasil kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati tiada pelajar, guru atau kakitangan daripada pusat tahfiz berkenaan yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling sebelum ini.

“Hingga kini, ada enam kes dalam kluster itu, iaitu tiga dikesan membabitkan penghuni pangsapuri berkenaan, manakala tiga lagi di luar kawasan pangsapuri.

“Mereka dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection). Kes positif kluster berkenaan adalah ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

“Punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan, namun besar kemungkinan penularan berkait aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Aidilfitri,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini. -BH