SHAH ALAM : Seorang lelaki yang didakwa ‘lari’ dari Klinik Kesihatan Bukit Naga di Seksyen 32 pada Khamis selepas disyaki dijangkiti Covid-19 telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai lelaki berkenaan daripada pihak klinik kesihatan itu menyebabkan usaha mengesannya dilakukan.

Beliau berpandangan, lelaki yang dipercayai menyertai program ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini bertindak sedemikian mungkin disebabkan proses mendapatkan rawatan agak lambat.

“Pada pandangan saya, lelaki itu bukan melarikan diri. Mungkin dia bosan menunggu sementara menerima rawatan di klinik kesihatan menyebabkan dia balik ke rumah dahulu. Namun kami telah menghubunginya melalui telefon bagi memujuknya kembali ke klinik untuk menerima rawatan.

“Lelaki itu kemudiannya datang sendiri ke klinik itu dan ambulans terus menghantarnya ke hospital untuk rawatan sewajarnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pada masa sama, Noor Azam berkata setakat ini, anggota serta pegawai seluruh Kontinjen Selangor bebas daripada sebarang jangkitan wabak berkenaan.

Tular di media sosial hari ini mengatakan seorang lelaki yang dipercayai menyertai program tabligh di Sri Petaling melarikan diri daripada menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan.