IPOH: Lebih 500 keluarga asnaf di sekitar Perak telah menghubungi MyFundAction Perak untuk memohon bantuan bekalan asas keperluan harian kerana terputus bekalan kerana COVID-19.

Menurut kenyataan NGO tersebut, setelah seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ia sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada asnaf untuk mendapatkan bekalan keperluan asas terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Barang-barang seperti susu, lampin pakai buang dan keperluan asas dapur sangat diperlukan khususnya bagi menampung bilangan isi rumah yang ramai.

“Ekoran daripada hal ini, MyFundAction Perak berinisiatif untuk menjejaki dan membantu golongan ini dengan memberikan kotak bekalan asas keperluan harian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, masih ramai yang terputus bekalan makanan dan sebahagian mereka ada yang terpaksa mengikat perut lebih-lebih lagi golongan asnaf kerana mereka dibatasi oleh faktor kesempitan hidup dan status kewangan.

“Pihak MyFundAction Perak akan meneruskan Misi Menjejaki Asnaf ini dan seterusnya, kami akan membuat pengedaran di tempat-tempat pengedaran utama.

“Justeru, MyFundAction Perak menyeru masyarakat di luar sana agar turut sama-sama prihatin terhadap golongan miskin dan kurang berkemampuan kerana dalam rezeki kita, ada hak orang lain,” ujarnya.

Penyumbang boleh menyumbang melalui akaun Maybank Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia Perak (MyFundActionPerak) 5582 9362 6427.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi MyFundAction Perak di talian 011 1060 6255.

Anda juga boleh ikuti aktiviti semasa MyFundAction Perak di akaun media sosial kami;

Channel Telegram MyFundActionPerak
Facebook MyFundAction Perak
Instagram MyFundAction Perak